Thursday, August 7, 2008

Sekolah Berjenama

Artikel asal di Berita Harian Online Sekolah Berjenama
SK Sri Gaya unggul Matematik, tarian dan kawad kaki

KEHEBATANNYA muncul antara empat sekolah terbaik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sabah sejak 2004 membolehkan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya, Kota Kinabalu berada setanding dengan Sekolah Jenis Kebangsaan dan sekolah swasta.

Kejayaan itu dengan sendirinya membuktikan status Sekolah Kebangsaan (SK) mampu bersaing dengan sekolah bantuan modal dan persendirian yang sering tersenarai sebagai lima sekolah terbaik di Sabah dalam UPSR.


Pada 2003, hanya sembilan calon UPSR sekolah itu merangkul 5A dan meningkat tiga kali ganda kepada 26 pada 2004.

Jumlah itu merosot kepada 19 pada 2005, sebelum meningkat 23 pada 2006 dan seterusnya kepada 26 pada tahun lalu.

Guru Besar SK Sri Gaya, Abdul Gahni Mohd Kassim, berkata kejayaan sekolah yang tersenarai sebagai Sekolah Kluster itu adalah hasil kerjasama padu semua pihak menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

MENONJOL: Kehebatan pasukan pengakap SK Sri Gaya terserlah apabila muncul juara pertandingan kawad kaki peringkat Sabah lima tahun berturut-turut sejak 2004.



Katanya, ibu bapa memberi kerjasama padu untuk menjayakan pelbagai program peningkatan akademik, selain bidang lain meliputi kurikulum dan kokurikulum.

Beliau berkata, semua murid Tahun Enam tersenarai dalam program peningkatan akademik untuk mencapai 5A UPSR.

"Kita mensasarkan jumlah calon yang memperoleh 5A melebihi 30 orang tahun ini," katanya.

Pemilihan sekolah itu sebagai Sekolah Kluster merangkumi tiga aspek kebitaraan iaitu Matematik, Kawad Kaki dan Tarian.

MANTAP: Proses pengajaran dan pembelajaran banyak membantu meningkatkan pencapaian akademik SK Sri Gaya.


Pada 2003, seramai 61 murid memperoleh A dalam mata pelajaran Matematik di peringkat UPSR, diikuti 98 (2004), 67 (2005), 51 (2006) dan 80 (2007).

Pada 2005, dua muridnya menjuarai Pertandingan Matematik Sekolah Rendah Sedunia anjuran Yayasan Po Leung Kuk di Manila, Filipina iaitu Mohd Amiruddin Ahmad dan Amir Adzhar Adnan. Kejayaan itu diulangi Mohd Amiruddin di Hong Kong pada 2006.

Kecemerlangan sekolah itu dalam mata pelajaran Matematik menyebabkannya terpilih sebagai Kem Kecemerlangan Matematik Pejabat Pelajaran Gabungan Kota Kinabalu membabitkan 30 murid dan empat guru setiap Selasa dan Jumaat.

Sekolah itu juga menjadi pusat latihan Pertandingan Matematik Sekolah Rendah Sedunia anjuran Yayasan Po Leung Kuk.

Dalam pada itu, Abdul Gahni berkata, seramai 12 muridnya membuat persembahan tarian di Portterfield, London mulai 28 Julai lalu hingga 4 Ogos lalu.

Katanya, persembahan itu adalah sempena Minggu Malaysia dan undangan berdasarkan statusnya sebagai anak angkat program Tunas Budaya di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Mereka mempersembahkan tarian tradisi etnik Murut iaitu Magunatif.

Sekolah itu pernah menjuarai Pertandingan Tarian Sekolah Rendah Peringkat Sabah tiga tahun berturut-turut pada 2001 hingga 2003 serta mengulanginya pada 2006 dan 2007.

SK Sri Gaya memenangi kejayaan berganda kategori individu Pertandingan Tarian Sekolah Rendah Peringkat Sabah pada 2002 hingga 2003 serta mengulanginya pada 2006 dan 2008 apabila penari lelaki dan perempuan sekolah itu dinobatkan penari terbaik untuk kategori masing-masing.

Sekolah itu menyertai 23 program tarian di peringkat Sabah dan kebangsaan sepanjang 2002 hingga Jun lalu meliputi Festival Kesenian Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan di Kuantan pada 2006.

Selain itu, Festival Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur pada 2007, Sukan Malaysia (Sukma) di Kota Kinabalu pada 2002 dan Tadau Kaamatan (Pesta Menuai) Peringkat Kebangsaan di Kota Kinabalu pada 2003.

Sekolah itu memiliki astaka mini untuk latihan dan persembahan tarian. Kemudahan lain adalah bilik latihan Pertandingan Matematik Sekolah Rendah Sedunia anjuran Yayasan Po Leung Kuk dan padang untuk kawad kaki.

Bagi Kawad Kaki pula, SK Sri Gaya mengungguli pertandingan peringkat negeri kategori Pasukan Pengakap Lelaki selama lima tahun berturut-turut sejak 2004 hingga tahun ini.

Pasukan wanita pula mengungguli kategori Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) peringkat negeri tiga tahun berturut-turut pada 2005 hingga 2007.

Kecemerlangan SK Sri Gaya seharusnya menjadi pendorong SK di seluruh Sabah untuk bangkit daripada imej Sekolah Prestasi Rendah kepada sekolah terbilang.

INFO:
- Tersenarai dalam Kumpulan Pertama 30 sekolah kluster
- Aspek kebitaraan sekolah adalah kawad kaki, mata pelajaran Matematik dan tarian
- 12 murid membuat persembahan kebudayaan di Portterfield, London tahun ini
- Menjuarai Pertandingan Matematik Sekolah Rendah Sedunia 2005

Artikel asal di Berita Harian Online Sekolah Berjenama

0 comments: